KUALA LUMPUR 24 Jan. – Seorang penduduk Felda mendakwa harga sawit yang rendah ketika ini menyebabkan harga belacan lebih mahal daripada harga komoditi tersebut.
Dalam satu video yang dikongsi di Facebook Najib Razak, penduduk berkenaan yang bersembang dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, harga sawit yang rendah ketika ini menyebabkan ramai peneroka menderita.
“RM175 setan… nak makan apa? Belacan mahal daripada kelapa sawit. Betul tok. Apa nak beli? Ikan masin pun tak boleh nak beli.
“Api (bil elektrik) pun sampai surat merah nak potong. Duit tak ada. Api, air kalau lambat sikit kena potong itu yang seksanya kita masa ini. Sekarang nak beli barang bercinta (fikir banyak kali) dahulu,” adu peneroka berkenaan kepada Najib.
Sementara itu, Najib dalam hantaran yang sama turut melontarkan pertanyaan ke mana perginya pejuang Felda yang sebelum ini begitu prihatin dengan nasib peneroka.










