KUALA LUMPUR 22 Jan. – Seorang bekas pengurus kanan produk di sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.
Menurut sumber, lelaki yang berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.35 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.
Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek telah menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.
“Perintah tahanan reman terhadap suspek akan dilakukan pagi esok di Mahkamah Majistret Putrajaya.
“Selain suspek, beberapa lagi individu sedang dikesan SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan. – UTUSAN ONLINE










