SHAH ALAM – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Datok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM33,380 bagi program kemasyarakatan empat tahun lalu.
Tertuduh, Loh Chee Heng, 41, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Chee Heng yang ketika itu mewakili DAP didakwa menggunakan dokumen Kelulusan Pengeluaran Peruntukan dan Kertas Kerja mengenai program Sambutan Hari Guru Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Datok yang mengandungi butiran palsu.
Butiran itu melibatkan permohonan pengeluaran peruntukkan RM13,380 bagi program yang tidak dilaksanakan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau yang merupakan ADUN Telok Datok dari tahun 2013 hingga 2018 didakwa menggunakan dokumen sama mengenai program Pesta Tanglung 2015 membabitkan permohonan peruntukkan RM20,000.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Daerah Kuala Langat, Kuala Langat pada 8 Jun dan 23 September 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 tertakluk mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Suffian Ja’afar memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan dan pasportnya juga perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Keppy Wong memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut memandangkan anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan tetap selain terpaksa menyara seorang isteri yang tidak bekerja serta tiga orang anak berusia antara lima hingga 13 tahun.
Mohd. Sabri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya juga perlu diserahkan kepada pihak mahkamah. Chee Heng membayar jaminan tersebut.
Mahkamah menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang bekas ADUN negeri ini daripada parti DAP ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tuntutan palsu berjumlah RM30,000.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang kelmarin selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.











