KUALA LUMPUR 26 Jan. – Gangguan bekalan air di beberapa kawasan Hulu Langat pulih secara berperingkat bermula hari ini selepas kerja-kerja pembaikan peralatan pam di Loji Rawatan Air Sungai Langat, Cheras, Selangor dekat sini selesai.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, terdapat beberapa kawasan yang berada pada kedudukan tinggi dan di penghujung sistem agihan masih dalam proses pemulihan.
“Bagaimanapun bekalan air di sebahagian besar kawasan terjejas telah pulih berdasarkan pemantauan di tapak dan bacaan di sistem agihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Raof berkata, Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Jalan Temenggung, Bandar Mahkota Cheras dan Taming Jaya, Balakong masih terus beroperasi dan bantuan lori-lori tangki air digerakkan hingga bekalan pulih sepenuhnya.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan memuat turun aplikasi Air Selangor atau menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-281 6793 atau 019-280 0919 untuk maklumat dan status terkini mengenai bekalan air. – UTUSAN ONLINE











