KUALA LUMPUR 14 Jan. – Berita gembira kepada para guru seluruh negara apabila bebanan tugas golongan pendidik itu dijangka dapat dikurangkan sehingga 25 peratus selepas ini menerusi pelaksanaan lima inisiatif yang telah dirangka Kementerian Pendidikan bersama Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah.
Kesemua inisiatif berkuat kuasa serta-merta itu juga merupakan perancangan jangka pendek di bawah bahagian proses pengajaran yang menjadi tumpuan utama Kementerian Pendidikan tahun ini.
Pengenalan lima inisiatif tersebut turut disusuli sembilan intervensi diperkenalkan kementerian berkenaan bagi memastikan guru kembali kepada tugas hakiki untuk mendidik, bukannya melakukan kerja-kerja lain termasuk perkeranian.
Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang memberitahu, inisiatif pertama bagi memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi mengandungi tiga intervensi melibatkan pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Menurut Maszlee, inisiatif kedua pula melibatkan pengurusan data dan sistem dalam talian akan menyaksikan dua intervensi akan dilaksanakan iaitu pengumpulan data diambil daripada sumber sedia ada kementerian dan penggunaan sepenuhnya sistem kehadiran murid secara dalam talian.
“Sistem kehadiran murid dalam talian akan digunakan di seluruh negara, guru tak perlu menulis secara manual lagi tetapi bagi sekolah yang mempunyai masalah, mereka boleh buat ikut kemampuan sedia ada.
“(Namun), dalam jangka masa panjang, saya melihat mungkin kita akan menyaksikan penggunaan sistem pengecaman wajah di mana guru hanya perlu mengambil gambar untuk merekodkan kedatangan. Itu imaginasi untuk masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas berucap dalam Majlis Amanat Menteri Pendidikan tahun 2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.
Tambah Maszlee, sesuai dengan pemansuhan peperiksaan tahap satu maka kementerian akan melaksanakan inisiatif ketiga bagi memberi ruang kepada sekolah untuk merangka sendiri pelaksanaan literasi dan numerasi (Linus) bersesuaian dengan keperluan murid.
“Selain itu, kementerian juga akan mula melaksanakan penyeragaman borang dan proses pemantau menerusi dua intervensi bagi memastikan guru tidak lagi terbeban untuk mengisi borang kebersihan, keselamatan dan penarafan kantin.
“Inisiatif terakhir yang kita akan lakukan iaitu penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah pula bagi memastikan jawatankuasa tidak berkaitan tugas mendidik akan dimansuhkan,” katanya.










