BBTP: Maszlee jamin akan berunding dengan Kementerian Kewangan - Utusan Malaysia

BBTP: Maszlee jamin akan berunding dengan Kementerian Kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Kementerian Pendidikan akan membuat rundingan dengan Kementerian Kewangan berkenaan Peruntukan Bayaran Bantuan Tambahan Persekolahan (BBTP) yang masih belum diterima oleh sekolah-sekolah di seluruh negara.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik dalam kenyataan di Facebook berkata, peruntukan yang masih belum diterima adalah bantuan untuk digunakan dalam kategori Kokurikulum, Kertas Ujian Dalaman, Sukan Tahunan Sekolah serta Kegiatan Pendidikan Islam dan Moral.


“Saya ingin menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan tidak pernah memotong peruntukan ini.


“Perkara ini adalah dalam perhatian khas untuk dibawa berunding dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat,” katanya.


Perkembangan ini menggusarkan guru-guru kerana BBTP kebiasaannya disalurkan ke sekolah-sekolah pada awal sesi persekolahan setiap tahun.


Kebanyakan komen balas pada kenyataan Maszlee juga meminta perkara tersebut diselesaikan segera kerana sekolah berada dalam keadaan tertekan untuk menjalankan aktiviti terutamanya berkaitan sukan dalam keadaan tiada peruntukan.


“Hal ini perlu diselesaikan secepat mungkin YB (Yang Berhormat). Sekolah-sekolah sangat memerlukan peruntukan ini untuk jalankan aktiviti sekolah.


“Sekarang ini sedang rancak berlangsung acara merentas desa di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Peruntukan pula tak ada, memang pihak sekolah tersepit,” tulis seorang pengguna Facebook, Mohd. Fadli Salleh.


Menurut Surat Pekeliling Kewangan Bil. 7 Tahun 2012 : Garis Panduan Pengurusan Kewangan Peruntukan BBTP, terdapat enam kategori belanja dalam peruntukan BBTP dan menurut kenyataan Maszlee, hanya dua yang sudah dilunaskan, iaitu Yuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan Insurans Takaful.


Peruntukan yang belum disalurkan termasuk untuk menampung aktiviti pasukan badan beruniform, urusan makan minum, penginapan dan pengangkutan murid dan guru pengiring serta penyediaan bahan cetak untuk ujian dalaman dan lembaran kerja murid. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN