PULAU PINANG 1 Jan. – Seorang ibu tidak menyangka detik 12 tengah malam sempena Tahun Baharu 2019 akan menjadi waktu paling menggembirakan apabila anak keempatnya dilahirkan dengan selamat walaupun kandungannya itu hanya berusia 36 minggu.
Siti Aminah Sudirman, 27, berkata, bayi lelaki yang seberat 2.6 kilogram itu dilahirkan secara normal dan kelahirannya amat mudah walaupun
anak lelakinya itu dijangka dilahirkan pada 28 Januari ini.
Siti Aminah yang merupakan seorang suri rumah berkata, dia tidak membuat persiapan awal untuk menyambut kelahiran anaknya memandangkan tidak ada tanda-tanda bayi itu akan dilahirkan lebih awal.
“Saya mula berasa sakit ketika sedang menonton televisyen di rumah di Teluk Kumbar petang semalam dan suami terus membawa saya ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Tepat pukul 12 tengah malam, anak keempat saya dilahirkan dan saya tidak sangka dia akan menjadi salah seorang bayi sempena Tahun Baharu 2019,” katanya ketika ditemui di HPP hari ini.

Setakat pukul 12 tengah malam sehingga 7 pagi ini, sebanyak tiga bayi dilahirkan di HPP pada hari pertama Tahun Baharu 2019. -UTUSAN ONLINE










