GUA MUSANG – Seorang bayi perempuan berusia setahun 5 bulan maut selepas dilanggar kereta di rumah pengasuhnya di Taman Kesedar Putra, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Aamina Inayah Mohd. Hafezul, mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, ibu pengasuh bayi itu berusia 54 tahun cuba mengalih kedudukan kereta jenis Toyota Fortuner yang berada di luar ke dalam garaj di hadapan rumahnya.
Katanya, ketika mengundurkan kenderaan, ibu kepada pengasuh itu tidak menyedari bayi tersebut berjalan keluar dan berada di luar rumah.
“Bagaimanapun, selepas perlanggaran, pengasuh berusia 20 tahun itu bergegas dan melihat bayi itu terbaring dan menangis. Pengasuhnya segera membawa bayi tersebut ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan bayi itu tinggal di rumah pengasuhnya sejak seminggu lalu kerana bapanya bekerja di Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang dan ibunya bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi.
Sementara itu, pengasuh bayi berkenaan, Nur Syamimi Ibrahim, 20, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang berkata, dia tidak menyangka kejadian itu kerana mangsa baru belajar berjalan. – K! ONLINE
View this post on InstagramA post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online) on









