KUALA LUMPUR 6 Jan. – Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini boleh membuat bayaran perkhidmatan perumahan itu secara dalam talian melalui saluran pembayaran JomPAY bermula 21 Disember lalu.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, pembayaran itu melibatkan sewa rumah, bil air dan yuran perkhidmatan PPR dan PA.
“Ketiga-tiga jenis bayaran itu merupakan tambahan kepada jenis terimaan bayaran DBKL yang dibuat melalui sistem tersebut selain bayaran cukai taksiran dan notis kesalahan trafik sebelum ini.
“Menerusi saluran ini, penghuni PPR dan PA boleh membuat bayaran melalui mana-mana 40 institusi perbankan di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, penyediaan perkhidmatan secara dalam talian itu merupakan penambahbaikan dalam sistem terimaan bayaran DBKL.
“DBKL berharap perkhidmatan ini dapat memberi kemudahan kepada penghuni dan warga kota untuk terus menjelaskan bayaran pada bila-bila masa tanpa perlu hadir ke kaunter bayaran DBKL,” katanya. – UTUSAN ONLINE










