Batal atau tidak, tunggu minggu depan – Guan Eng - Utusan Malaysia

Batal atau tidak, tunggu minggu depan – Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 27 Jan. – Status kontrak antara kerajaan dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sama ada dibatalkan atau sebaliknya hanya akan diketahui minggu depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengumuman itu akan dibuat secara bertulis seperti mana diputuskan Kabinet sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan media supaya tidak membuat sebarang tekaan atau memainkan perkara yang tidak berbangkit atau tidak berasas mengenai isu terbabit.

“Ini bersangkut-paut dengan perkara kontrak yang sensitif dan sebagainya, sebab itu saya tidak mahu sebut lebih daripada itu, lebih baik kita berpandukan kepada kenyataan bertulis yang akan dikeluarkan minggu depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isu mengenai kontrak CCCC bagi membina ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan sepanjang kira-kira 688 kilometer itu mencetuskan tanda tanya berikutan perbezaan kenyataan yang dibuat pemimpin kerajaan.

Ia berikutan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyebut kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak dengan CCCC yang digantung pada Julai tahun lalu itu pada mesyuarat Kabinet Khamis lalu.

Bagaimanapun, kenyataan Mohamed Azmin itu mengejutkan Guan Eng yang berpendapat beliau mungkin tidak dimaklumkan mengenai keputusan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu mesyuarat itu.

Sementara itu, ditanya sama ada akan terdapat perubahan mengenai status kontrak CCCC itu seperti disebut Mohamed Azmin sebelum ini, Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya menegaskan supaya menunggu pengumumannya minggu depan.

Sebelum ini, portal berita Straits Times yang berpangkalan di Singapura melaporkan penamatan kontrak itu dilaksanakan susulan kegagalan CCCC mengurangkan kos projek kepada separuh iaitu RM40 bilion berbanding RM81 bilion selain menepati beberapa permintaan kerajaan. -UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×