SEREMBAN – Sebuah bas kilang yang diparkir di bahu sebatang jalan di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar di sini rentung dalam insiden kebakaran hari ini.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Md. Rashid Tugiman berkata, kejadian kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.
“Bas kilang itu dipercayai diparkir di bahu jalan tersebut untuk diperbaiki di sebuah bengkel berdekatan.
“Punca kebakaran belum diketahui. Sebuah lori satu tan yang diparkir di belakang bas kilang itu turut rentung,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Md. Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.53 pagi dan tiba di lokasi kebakaran beberapa minit kemudian.
Kata beliau, seramai tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Senawang bersama dua buah jentera dikerahkan memberi bantuan.
Menurut beliau, anggota bomba mengambil masa selama 38 minit bagi memadamkan kebakaran dan memastikan keadaan di lokasi kejadian adalah selamat. – K! ONLINE










