PUTRAJAYA 31 Jan. – Barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu dilantik melambangkan ilmu, kekuatan dan pengalaman daripada beberapa latar belakang yang berbeza.
Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, pelantikan itu juga merupakan gabungan golongan professional yang terdiri daripada pelbagai bidang seperti agama, akademik, perundangan dan lain lain lagi.
“Pelantikan itu diyakini mampu menjana idea dan memberi nasihat kepada pengurusan agensi ini dan kepelbagaian latar belakang dan pengalaman sememangnya sesuai dengan Yadim dalam menggerakkan agendanya meletakkan Islam di Malaysia di kedudukannya yang sebenar melalui medan dakwah yang penuh hikmah.
“Yadim menerima dengan positif dan mengambil maklum semua pandangan, nasihat dan kritikan dan akan menjadikannya sebagai kerangka untuk melakukan penambahbaikan dalam organisasi,” katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Nik Omar, fokus utama Yadim ketika ini ialah pastinya dalam bidang dakwah selain pendidikan, kebajikan dan sosial, menerusi tiga wawasan Yadim iaitu mengubah pemikiran, nasihat menasihati dan operasi kehidupan.
“Badan dakwah ini akan menumpukan kepada usaha pengkaderan daie, para pendakwah yang benar-benar memahami Islam, menggunakan pendekatan yang terbaik untuk berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Sesuai dengan tujuan penubuhannya, Yadim juga akan memperkukuhkan hubungan dan interaksi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini serta menjadikan mereka sebagai rakan strategik bagi menjayakan visi dan misi di samping menyumbang kepada pembangunan ummah,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Yadim komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh patuh Syariah, yang boleh dijadikan rujukan kepada negara lain di peringkat antarabangsa. – UTUSAN ONLINE











