JAGUH pecut negara, Azizulhasni Awang berjaya menebus kehampaan kegagalannya meraih pingat pada acara keirin dengan menjuarai saingan pecut individu pada Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) 2019 di Jakarta, Indonesia kelmarin.
Pelumba jolokan The Pocket Rocketman berusia 32 tahun itu menewaskan pelumba dari China, Xu Chao pada perlumbaan ketiga dengan catatan masa 10.154 saat (s) manakala Xu ketinggalan 0.004s.
Terdahulu, Xu memenangi perlumbaan pertama dengan catatan 10.307s, sebelum Azizulhasni meraih kemenangan pada perlumbaan kedua dengan catatan 10.270s.
Kemenangan itu menyaksikan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berjaya menuai satu emas serta satu gangsa dalam acara pecut berpasukan lelaki yang berlangsung Rabu lalu.
Rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga tidak pulang dengan kekecewaan apabila merangkul pingat gangsa pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Sebelum ini, Azizulhasni sekadar menamatkan perlumbaan acara keirin di kedudukan kelima selepas dikepung tiga pelumba Jepun yang menyaksikan Yuta Wakimoto merangkul emas, namun Shah Firdaus tetap menceriakan kem negara dengan pingat perak.
Pingat gangsa turut diraih pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata.
Azizulhasni bagaimanapun sudah mengesahkan diri merangkul gelaran No. 1 dunia bagi acara keirin secara tidak rasmi selepas mengumpul mata tambahan sebanyak 420 mata.
Walaupun kedudukan ranking pada laman web Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) masih belum dikemas kini, Azizulhasni yang berada di kedudukan kedua di belakang Matthew Glaetzer dengan 2,445 mata sah memintas pelumba Australia berkenaan dengan catatan mata keseluruhan sebanyak 2,865 mata.
Prestasi pada ACC 2019 sudah tentu akan menjadi ukuran penting bagi menilai prestasi pelumba negara menjelang saingan Kejuaraan Berbasikal Dunia 2019 di Poland 27 Februari depan.










