CAMERON HIGHLANDS 25 Jan. – Jentera Barisan Nasional (BN) dan para penyokong parti diingatkan supaya berhati-hati dengan gerak gempur operasi subuh yang dijangka digunakan oleh Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, operasi subuh adalah mengetuk pintu rumah-rumah pengundi yang dikenal pasti sebagai penyokong BN.
“Operasi subuh dengan mengetuk pintu rumah pengundi kita. Duit dan barangan lain akan digunakan bagi mengubah pendirian pengundi putih kita.
“Mereka tahu ramai dalam kalangan kita sudah terlalu yakin akan menang dan ini mungkin akan melalaikan kita sehingga lupa akan peri pentingnya menjaga kawasan malam ini.
“Petang semalam di Perkampungan Orang Asli Pos Lejang, barangan dan wang yang disebut di atas, telah mula sampai untuk menggoda para pengundi kita,” katanya.
PRK kali ini, kata Lokman, tidak sama seperti empat PRK yang lalu di mana BN bertanding di tiga kubu musuh dan BN tidak bertanding di Port Dickson.
Perjuangan menggurangkan majoriti musuh, jelasnya, jauh lebih mudah daripada mempertahankan kemenangan setelah BN tidak menguasai kerajaan.
Namun, katanya lagi, inilah pilihan raya kecil paling penting dalam usaha BN mempertahankan maruah dan meletakkan mercu tanda baharu bahawa majoriti rakyat sudah kembali bersama Barisan Nasional dan Pas.
Pakatan Harapan, ujarnya, akan menggunakan pelbagai cara bagi menunjukkan bahawa BN sudah tidak lagi releven.
“Di saat-saat akhir ini saya merayu agar semua jentera BN dapat meningkatkan kesiapsiagaan bagi membanteras sebarang bentuk penipuan dan helah yang bakal digunakan oleh Pakatan bagi menafikan kemenangan kita esok.
“Pengagihan tugas siapa yang harus berjaga malam ini dan siapa yang harus bertugas seawal pagi esok di pusat pembuangan undi amatlah penting.
“Limpahan penyokong Pakatan berbaju merah mengatasi petugas BN yang berbaju biru, akan mewujudkan persepsi seolah-olah rakyat sudah bersama Pakatan dan ini boleh mengubah pendirian pengundi putih kita di saat akhir,” katanya. – UTUSAN ONLINE









