SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan minuman keras tiruan selepas menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Puteri, Puchong baru-baru ini.
Serbuan pukul 3 petang pada 15 Januari lalu itu dilakukan bersama wakil cop dagang minuman keras itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang penangkapan suspek.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, hasil serbuan tersebut pihaknya berjaya merampas 3,500 botol minuman keras tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM632,265 di ruang tamu rumah tersebut.
Beliau berkata, serbuan tersebut dillakukan hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.
“Sebelum serbuan dilakukan, kita terlebih dahulu mengetuk pintu pagar dan memanggil penghuni rumah berkenaan namun tiada sahutan selepas hampir 30 minit menunggu.
“Susulan itu, kita terpaksa memecahkan kunci pintu pagar dan pintu utama premis berkenaan. Tindakan tersebut dilakukan selepas kami mendapat waran geledah,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman menambah, siasatan lanjut mendapati premis itu dijadikan stor simpanan minuman keras oleh sindiket berkenaan sejak enam bulan lalu.
Ujar beliau, pihaknya kini sedang mengesan penyewa atau pemilik premis berkenaan.
“Kita telah mengeluarkan kenyataan Pemeriksaan Premis dan Akuan Penyitaan terhadap premis tersebut.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM10, 000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya. – K! ONLINE










