Aplikasi MyWC mudahkan carian tandas awam - Utusan Malaysia

Aplikasi MyWC mudahkan carian tandas awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 26 Jan. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini melancarkan aplikasi MyWC yang memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai 2,620 tandas awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi fasa pertama.

Aplikasi tersebut yang mula boleh dimuat naik di Google Play dan App Store mulai esok, memaparkan maklumat jarak beserta lokasi tandas terdekat dengan petunjuk GPS.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, aplikasi itu juga memudahkan orang ramai memilih tandas berdasarkan ‘star rating’, berbayar atau tidak berbayar selain kemudahan tersedia seperti tandas orang kurang upaya (OKU) dan bilik tukar lampin bayi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk membangunkan aplikasi ini, pihak kementerian bersama PBT telah mengumpul data asas berkaitan tandas di seluruh negara untuk direkodkan dalam satu pangkalan data dinamakan Daftar Tandas Awam Pihak Berkuasa Tempatan Seluruh Malaysia (Datam).

“Saya berharap aplikasi ini akan membantu dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia apabila ia diguna pakai kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Tandas Sedunia Kali Ke-9 peringkat kebangsaan anjuran kementerian dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Setiausaha Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×