PORT DICKSON 26 Jan. – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon Pakatan Harapan (PH) supaya sentiasa mematuhi peraturan semasa bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Presiden PKR itu berharap kesilapan calon PH, M. Manogaran memakai baju yang terdapat logo parti semasa memasuki pusat mengundi semasa Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands hari ini tidak berulang pada masa akan datang.
“Saya semasa jadi calon (di Port Dickson) pakai logo kecil parti, apabila sedar perkara itu saya tukar pakaian.
“Kita terima kasih kepada Manogaran kerana cepat tukar pakaiannya. Ini peraturan-peraturan yang kita harus patuhi dan calon perlu faham. Sebab itu saya menyokong Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Interaktif dan Penyampaian Komputer Kepada 63 Sekolah di daerah ini, di sini hari ini.
Manogaran hari ini meminta maaf dan mengakui tidak berniat melanggar peraturan kerana memakai baju yang mempunyai logo parti di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut.
Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana beliau telah keluar dari pusat mengundi tersebut selepas diarahkan oleh petugas SPR. – UTUSAN ONLINE











