Anak panda semakin lincah, sambut ulang tahun pertama - Utusan Malaysia

Anak panda semakin lincah, sambut ulang tahun pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Keletah anak panda betina kedua kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China yang bermain kek ais dan buluh yang diletakkan atas pelantar sebagai hadiah sambutan ulang tahun pertamanya hari ini nyata mencuit hati pengunjung di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara.  

Hanya dikenali sebagai ‘Adik’ dalam kalangan penjaganya, berat badan anak panda itu kini mencecah 34 kilogram membuktikan ia semakin menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan aktif memanjat pokok-pokok buatan yang diwujudkan dalam tapak kompleks seluas 1.6 hektar tersebut. 

Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan GPCC, Dr. Mat Naim Ramli berkata, tumbesaran ‘Adik’ berada pada tahap terbaik dan masih sepenuhnya menyusu dengan ibunya walaupun sesekali memakan buluh yang disediakan. 

“Sikapnya agak manja dan jika berbanding dengan kakaknya, Nuan Nuan, ‘Adik’ tidak sebegitu aktif dan kurang meneroka kawasan sekitar.

Dia lebih gemar bersantai di atas pokok buatan dan mengekori ibunya,” katanya kepada pemberita pada sambutan ulang tahun pertama kelahiran ‘Adik’ di sini hari ini. 

Mat Naim berkata, walaupun sambutan dilakukan secara sederhana, ulang tahun pertama ‘Adik’ tetap memberi impak penting kepada GPCC memandangkan kelahirannya adalah di luar musim mengawan yang lazimnya berlaku pada antara April dan Jun. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×