TUMPAT 26 Jan. – Ismail Jusoh, pengasas Budu Cap Ketereh yang meninggal dunia malam semalam, pernah berpesan kepada anak-anaknya supaya meneruskan perusahaan tersebut walaupun dia tidak lagi bersama mereka selepas ini.
Anaknya, Mohd. Izwan Ismail, 33, berkata, pesanan terakhir Allahyarham sentiasa terngiang-ngiang di telinga dan menjadi pembakar semangat untuk dia dan tujuh adik-beradik lain bagi memajukan perniagaan keluarga tersebut.
“Dalam keadaan lemah, arwah ayah pesan, jaga molek kilang budu kita ini. Biar berterusan sampai ke cucu-cicit. Kami nekad akan turuti pesanan ayah dan pastikan Budu Cap Ketereh terus berkembang maju,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ismail, 69, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu pada pukul 8.05 malam semalam. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil, di sini pada pukul 7.30 pagi ini.
Kata Mohd. Izwan, bapanya dimasukkan ke HUSM sejak 8 Disember lalu disebabkan mengalami tekanan darah rendah.
“Keadaannya semakin lemah selepas itu dan selepas pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan ayah menghidap kanser darah tetapi masih di peringkat awal. Awal Januari lalu ayah menjalani kemoterapi namun keadaannya semakin lemah dari sehari ke sehari,” katanya.
Allahyarham meninggalkan isteri, Kamariah Husien, 65, dan lapan anak.
Budu Cap Ketereh yang diasaskan Ismail kira-kira 40 tahun lalu kini menembusi pasaran luar negara.










