KUALA LUMPUR 4 Jan. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa supaya melaksanakan pemberian tender terbuka terutamanya melibatkan pembelian set-set tren berkualiti demi kepentingan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan negara.
Malah, pembelian set tren sekali gus mengakibatkan lambakan dari China perlu dihentikan apatah lagi ‘track record’ set tren yang dibeli daripada syarikat negara berkenaan sering kali mengalami banyak masalah.
Menurut Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, Abdul Razak Md. Hassan, kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mengalu-alukan pelaburan China Railway Rolling Stock Corp (CRRC) seolah-olah menggambarkan kerajaan terpikat dengan strategi pemasaran yang dilakukan syarikat pengeluar kereta api itu.
Jelas beliau, sejak tahun 2012, kerajaan terdahulu telah pun membelanjakan kira-kira RM5.7 bilion bagi membeli 100 unit tren tanpa tender terbuka daripada syarikat kereta api China.
Abdul Razak berkata, syarikat kereta api dari China juga telah membuat tawaran untuk membekal seterusnya menjual 30 unit gerabak elektrik (Elektrik Loko) sekali gus mendapat bantahan bukan sahaja daripada pihak kesatuan tetapi juga KTMB disebabkan penggunaan terhad berbanding gerabak diesel (Diesel Loko).
“Jika Elektrik Loko itu dibeli juga, maka KTMB terpaksa menanggung kos tambahan berjumlah RM100 juta bagi menaik taraf sistem elektrifikasi.
“Justeru, pihak kesatuan berharap kerajaan berpegang kepada janji untuk lebih telus dan terbuka termasuk melaksanakan tender terbuka. Jangan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kata lain, selepas PRU-14 buat lain, nanti rakyat kata ‘pi mai, pi mai tang tu’ juga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










