LONDON 7 Jan. – Pemain tengah, Dele Alli menyatakan keazaman untuk menamatkan kemarau 11 tahun Tottenham tanpa trofi utama apabila pasukannya beraksi menentang Chelsea dalam separuh akhir pertama di Wembley, esok.
Skuad bimbingan Mouricio Pochettino tersebut, kini berada pada prestasi terbaik untuk merangkul gelaran selepas Tottenham kali terakhir berbuat demikian sewaktu muncul juara Piala Liga pada 2008 dengan menewaskan pencabar yang sama ketika itu.
Atas alasan tersebut, Alli lebih berkeyakinan kali ini bahawa Spurs akan menambah koleksi trofi di kabinet mereka, musim ini, sebelum berpeluang melakukannya dalam kempen Liga Juara Juara, Liga Perdana dan Piala FA.
“Kami perlu menjadikan Piala Liga ini sebagai permulaan untuk mencatat kejayaan. Setiap pertandingan kami mahu menang. Sebagai pemain, kalau boleh kami hendak menang sebanyak mungkin trofi. Kami ingin menamatkan penantian ini,” kata Alli. – AFP









