PONTIAN – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler yang berhenti di laluan motosikal selepas mengalami kerosakan di Kilometer 70, Jalan Johor Bahru- Batu Pahat di sini malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, mangsa Nursaiful Mohd Seith, 26, yang berasal dari Taman Harta Ria di sini maut di tempat kejadian akibat pendarahan pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila treler terbabit yang berhenti di laluan motosikal selepas mengalami kerosakan gagal meletakkan kon dan segi tiga keselamatan sejak pukul 4 petang.
“Mangsa yang datang dari arah Pontian menghala ke Batu Pahat kemudiannya merempuh belakang treler terbabit. Akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dihubungi di sini sebentar tadi.
Pemandu lori terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE.










