KUALA LUMPUR 28 Jan. – AirAsia Group Bhd. merekodkan jumlah penumpang yang dibawa sebanyak 74.8 juta atau kenaikan sebanyak 15 peratus bagi tempoh Januari hingga Disember 2018.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, kumpulan turut merekodkan peningkatan jumlah penumpang yang dibawa sebanyak 16 peratus kepada 12.1 juta pada suku keempat 2018.
Daripada jumlah itu, Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak sembilan peratus dalam tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK) dengan jumlah penumpang mencecah 8.5 juta.
Bagi AirAsia Indonesia pula katanya, lapan pesawat yang sebelum ini dikendalikan oleh PT. Indonesia AirAsia Extra (IAAX) telah dipulangkan semula kepada AirAsia Indonesia.
Katanya, ia menjadikan bilangan suku keempat adalah lebih tinggi daripada biasa dengan kenaikan 56 peratus penumpang yang dibawa dan faktor muatan meningkat tiga peratus kepada 82 peratus tahun ke tahun.
“Melihat prestasi tahun penuh untuk semua enam pasaran AirAsia, ia menyaksikan satu tahun pertumbuhan yang kukuh untuk AirAsia dan Kumpulan AirAsia juga telah meningkatkan kapasitinya sepanjang tahun, dengan ASK naik sebanyak 15 peratus dan berjaya mencapai sasaran faktor muatan kumpulan sebanyak 85 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
AirAsia berkata, faktor muatan bagi suku tersebut dicatatkan pada 84 peratus, turun empat mata peratusan akibat peningkatan ketara dalam kapasiti.
Katanya, ASK meningkat sebanyak 14 peratus tahun ke tahun sejajar dengan strategi kumpulan untuk terus mengembangkan bahagian pasarannya.
“Filipina juga merekodkan prestasi cemerlang bagi suku keempat dengan tambahan kapasiti kerusi sebanyak 20 peratus untuk kedua-dua sektor domestik dan antarabangsa.
Faktor muatan terus kukuh pada 89 peratus yang menyaksikan penumpang dibawa melebihi peningkatan kapasiti.
Menurutnya, AirAsia Thailand juga telah melancarkan banyak laluan baharu ke China dan India pada suku keempat 2018, dengan ASK mencatat kenaikan lapan peratus tahun ke tahun.
“AirAsia Thailand menyaksikan pemulihan pelancong antarabangsa ke Thailand pada suku keempat dan berjaya meningkatkan jumlah penumpang yang dibawa sebanyak tiga peratus dengan mencatatkan faktor muatan, 86 peratus,” katanya.










