KUALA LUMPUR 7 Jan. – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia memansuhkan caj yuran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebanyak RM3 bagi semua penerbangan yang berlepas dari terminal itu bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, yuran KLIA2 diperkenalkan pada Mei 2014 bagi menampung kos tambahan yang wujud daripada penggunaan kemudahan mandatori yang dikenakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut beliau, antara kemudahan mandatori yang terdapat di KLIA2 termasuk penggunaan jambatan udara, sistem daftar masuk SITA dan sistem menaiki pesawat.
“Kemudahan-kemudahan tersebut sebelum ini tidak terdapat di terminal lapangan terbang kos rendah (LCCT). Pemansuhan yuran KLIA2 ini selaras dengan pengumuman yang dibuat pada minggu lalu.
“Kami telah mengatakan sejak dari dahulu lagi KLIA2 tidak sesuai untuk operasi syarikat penerbangan tambang rendah. Kami akan terus ke MAHB untuk segala kos tambahan yang mereka kenakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Isnin lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam sesi langsung di Facebooknya bersama orang ramai berkata, pihaknya akan berhenti mengutip caj RM3.
Bagaimanapun, MAHB tampil menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengenakan caj RM3 di KLIA2 seperti yang diperkatakan AirAsia.
Menurut MAHB, caj itu dikenakan dan dikutip semata-mata oleh AirAsia sejak terminal KLIA2 memulakan operasi pada 2014.
Dalam kenyataan minggu lalu MAHB menjelaskan, satu-satunya caj yang dikutip oleh pihaknya adalah caj perkhidmatan penumpang RM11 bagi pelepasan domestik, RM35 bagi pelepasan antarabangsa ke negara ASEAN dan RM73 bagi pelepasan antarabangsa ke negara bukan ASEAN.
AirAsia sebelum ini mengenakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) sebanyak RM50 bagi pihak MAHB di KLIA2 dalam harga tiket penerbangannya, namun enggan menaikkan jumlah itu selepas MAHB menyemak semula caj berkenaan kepada RM73.










