KUALA LUMPUR 14 Jan. – Pengerusi Lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting menyokong penuh kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun yang menyatakan kedudukan AIM kini berada pada landasan yang betul.
AIM dalam satu kenyataan memberitahu, berdasarkan laporan kajian impak ke-7 AIM yang dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati, agensi tersebut berjaya meningkatkan purata pendapatan bulan Sahabat AIM sekitar 107 peratus iaitu dari RM1,043 ke RM2,161.71.
Katanya, manakala, purata pendapatan isi rumah Sahabat AIM adalah sekitar RM4,340 sebulan dan menjadi bukti bahawa AIM kini berada di landasan yang betul.
“Kenyataan Pengasas AIM merangkap bekas Pengarah Urusan AIM, Prof. Sukor Kasim di dalam sebuah portal yang menyatakan AIM sudah lari dari landasan asal adalah tidak berasas kerana kenyataan tidak mengambil kira prestasi dan kejayaan AIM yang cemerlang sepanjang 32 tahun penubuhannya.
“Kenyataan beliau turut mengabaikan faktor luaran yang mempengaruhi polisi dan dasar AIM seperti perubahan iklim ekonomi semasa, keperluan Sahabat AIM serta penekanan terhadap nilai tambah projek Sahabat,” katanya, di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, sehingga November 2018, AIM telah mengeluarkan kumulatif pembiayaan berjumlah RM21.23 bilion kepada lebih 300,000 Sahabat AIM.
Jelasnya, manakala, bagi tahun 2019, AIM menyasarkan pembiayaan kepada 400,000 orang sahabat dengan nilai peruntukan sebanyak RM2.5 bilion. – UTUSAN ONLINE










