TANAH RATA – Ahli Parlimen Cameron Highlands baharu, Ramli Mohd. Nor mahu memberikan perkhidmatan terbaiknya kepada semua golongan masyarakat di seluruh parlimen Cameron Highlands.
Ramli yang merupakan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata, keyakinan dan kepercayaan rakyat memilih beliau sebagai wakil mereka tidak akan disia-siakan malah amanah tersebut akan digalas sebaik-baiknya.
“Tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen telah pun bermula dan saya perlu memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat di sini.
“Saya mempunyai kira-kira 30,000 ‘bos’ (penduduk). Selepas ini, saya akan lihat dan selesaikan masalah mereka baik dari segi ekonomi, kemudahan dan pengangkutan awam serta masalah kesesakan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pasar Pagi Tanah Rata di sini hari ini.
Lawatan tersebut merupakan lawatan pertama secara rasmi selepas beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands semalam.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang berakhir semalam, Ramli yang merupakan Orang Asli suku Semai daripada Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 3,238 undi.
Ramli memperoleh 12,038 undi mendahului calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dengan 8,800 undi serta dua calon Bebas, Sallehudinn Ab. Talib (314) dan Wong Seng Yee (276).
Kemenangan itu menjadikan Ramli yang berketurunan Orang Asli mencipta sejarah apabila menjadi Ahli Parlimen pertama daripada keturunan Semai di Dewan Rakyat. – K! ONLINE










