Agong: Rakyat iringi keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke ibu negara - Utusan Malaysia

Agong: Rakyat iringi keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke ibu negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Perasaan sayu bercampur bangga jelas terpamer di wajah rakyat jelata yang mengiringi keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar ke ibu negara hari ini.

Pasangan diraja itu berangkat meninggalkan negeri itu untuk menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong susulan pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas), 24 Januari lepas.

Sultan Abdullah akan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-252 (Khas) diikuti dengan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan serta pengisytiharan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara hari ini.

Seawal 5.30 pagi lagi, ribuan rakyat jelata terdiri daripada pelbagai kaum serta lapisan umur berdiri di luar Istana Abdulaziz, Bandar Indera Mahkota, di sini dan Pekarangan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Kuantan untuk mengucap selamat tinggal kepada baginda dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Terdahulu, baginda berdua yang memakai persalinan sedondon berwarna biru firus  berangkat dari Istana Abdulaziz pada 7.10 pagi dengan diiringi  Tengku Mahkota Pahang yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×