Agong: Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah selamat tiba di KLIA - Utusan Malaysia

Agong: Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah selamat tiba di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 9.15 pagi menerusi pesawat khas turut diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda disambut oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah serta barisan pegawai kanan kerajaan.

Baginda diiringi melalui pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja dari Kem Wardieburn, Kuala Lumpur terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat diketuai Kapten Abdul Munir Mohani @ Che Omar.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian berangkat ke Dataran Parlimen menaiki kenderaan diraja bagi acara sambutan rasmi sebelum ke Istana Negara untuk istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan.

Sebagaimana termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, baginda akan melafaz sumpah dengan disaksikan Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara.

Mesyuarat khas itu juga akan menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Terdahulu, pasangan diraja itu berangkat meninggalkan Istana Abdul Aziz menuju Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Batu 10, Kuantan, Pahang pada pukul 8.33 pagi tadi.

Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa hari ini menerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) yang berlangsung pada 24 Januari lalu.

Pemilihan baginda adalah bagi menggantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×