KUALA LUMPUR 31 Jan. – Pemikiran ‘melampau’ terhadap pelantikan 12 Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) tidak sewajarnya berlaku.
Kenyataan daripada Unit Komunikasi Exco Agama Negeri Kedah berkata, warga maya telah dikalutkan seolah-olah urusan dakwah telah diserahkan kepada pihak Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya kerana pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim.
“Apakah para warga maya, termasuk agamawan dan pemimpin ingin menyatakan bahawa YB Dr. Mujahid dan YB Sheikh adalah iblis atau mereka ingin me’musyrik’kan kedua-dua tokoh tersebut? Jangan mudah sangat dan jangan ringan lidah sangat !.
“Sementara mereka semudahnya menggunakan ungkapan ‘musuh’, apakah selayaknya kita juga mengunakan balik hujah tersebut ? Sesekali tidak!, kita bahkan tidak menganggap pun mereka itu musuh kita, apalagi musuh Islam, kerana kita hanya sedang ‘berlawan’ hujah dan pendirian untuk berbakti kepada negara tercinta ini,” kata kenyataan yang dinaikkan di Facebook pagi ini.
Beberapa pihak sebelum ini mengkritik pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Yadim berikutan mereka terdiri dari kalangan ahli parti politik Pakatan Harapan.
Mereka juga menyatakan pelantikan itu tidak menepati janji Pakatan Harapan (PH) bahawa tiada lagi lantikan politik membabitkan agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan yayasan berkaitan kerajaan.
Media melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan berkata, Pas melihat penstrukturan baharu Yadim di bawah Kerajaan PH akan membawa badan amanah itu menyimpang jauh dari matlamat asal penubuhannya.
Katanya, Pas meragui dasar dan pendekatan baru Yadim sekarang dalam menyelaraskan kegiatan badan dakwah serta NGO berteraskan Islam.
Berikut adalah kenyataan penuh:
Musuh Islam dan musuh Allah: Jangan mudah sangat.
1. Susulan lantikan YB Sheikh Omar sebagai salah seorang dari 12 ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), warga maya dikalutkan seolah-olah urusan dakwah telah diserahkan kepada pihak Parti Tindakan Demokratik (DAP), ini hanya kerana YB Sheikh salah seorang dari anggota ‘Melayu’ DAP.
2. Tak cukup dengan ‘suuzzan – buruk sangka’ yang melampau terhadap Kerajaan PH seperti yang dizahirkan oleh Dato’ Takiyuddin (SUA Pas), ramai dari kalangan warga maya – termasuk dari kalangan pimpinan parti politik dan golongan agamawan – telah ‘terlajak lidah’ dengan melebelkan YB Sheikh dan YB Dr Mujahid sebagai ‘musuh Islam’ atau ‘musuh Allah’, demikian mudahnya !
3. Dalam pengunaan istilah ‘musuh Islam’ dan ‘musuh Allah’ mengikut kefahaman Islam yang murni, selalunya dirujuk kepada iblis dan para musyrikin yang memusuhi agama – prinsip dan pelaksanaan – . Adapun hatta terhadap golongan munafikin – yang bertindak dengan dua wajah – pun tidak diisytiharkan sebagai Musuh.
4. Apakah para warga maya – termasuk agamawan dan pemimpin – ingin menyatakan bahawa YB Dr. Mujahid dan YB Sheikh adalah Iblis atau mereka ingin me’musyrik’kan kedua-dua tokoh tersebut? Jangan mudah sangat dan jangan ringan lidah sangat !.
5. Sementara mereka semudahnya mengunakan ungkapan ‘musuh’, apakah selayaknya kita juga mengunakan balik hujah tersebut ? Sesekali TIDAK !, kita bahkan tidak menganggap pun mereka itu musuh kita, apalagi musuh Islam, kerana kita hanya sedang ‘berlawan’ hujah dan pendirian untuk berbakti kepada negara tercinta ini.
6. ‘Tidak bahaya ka pemikiran ini?’, amat bahaya, namun cara menanganinya adalah melalui ‘perlawanan’ hujah, bukan dengan emosi’, kerana kita ingin melahirkan generasi yang waras dan melakukan pertimbangan berdasarkan ilmu.
Ayuh, hentikan pemikiran ‘melampau’ ini. – UTUSAN ONLINE











