CAMERON HIGHLANDS – Seramai 216 daripada 247 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) keluar mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang tamat pada pukul 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, jumlah keluar mengundi kira-kira 87 peratus itu melibatkan dua pusat mengundi awal iaitu di bilik maklumat Balai Polis Brinchang dan Balai Polis Sungai Koyan.
Katanya, kesemua peti undi dari dua buah pusat mengundi tersebut telah pun disimpan di lokap Balai Polis Brinchang.
“Proses undian awal hari ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Peti undi dari Balai Polis Sungai Koyan telah tiba di sini pada pukul 4 petang setelah pusat mengundi itu ditutup pada pukul 2 petang.
“Kesemua peti-peti undi tersebut telah pun disimpan di lokap balai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands di sini hari ini. – K! ONLINE










