KUALA TERENGGANU 31 Jan. – Seramai lapan atlet bersama pasukan bola sepak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang meraih pingat dalam pelbagai temasya sukan tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu menerima insentif daripada UniSZA, baru-baru ini.
Mereka merupakan atlet yang cemerlang dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG), Program PKS Memanah, Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (Sukum), Kejohanan Taekwondo Universiti Dunia, Liga Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Karnival Sukan Universiti-universiti Malaysia (Masum) dan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SukIPT).
Antara penerima insentif itu ialah atlet karate, Noor Azizan Nor Azli yang memenangi pingat emas di AUG, Myanmar dan pasukan bola sepak yang muncul naib juara.
Majlis penyampaian insentif disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif di Dewan Auditorium Perpustakaan, kampus Gong Badak di sini baru-baru ini.
Yang hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UniSZA, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh dan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi, Riduan Mohamed Arof.
Sementara itu, Ahmad Zubaidi berkata, pemberian insentif itu merupakan tanda pengiktirafan dan penghargaan UniSZA kepada atlet yang cemerlang dan mengharumkan nama universiti sekali gus negara.
Katanya, ganjaran kewangan mampu menyuntik semangat kepada golongan berkenaan untuk mencapai lebih banyak kejayaan di samping memberi inspirasi kepada atlet muda untuk mengikut jejak langkah mereka. – UTUSAN ONLINE










