60 ayam ratu 'beradu' kecantikan - Utusan Malaysia

60 ayam ratu ‘beradu’ kecantikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 26 Jan. – Kelab Ayam Ratu Kelantan (Karak) berjaya mengumpulkan 60 haiwan itu dari seluruh negeri ini dalam Pertandingan Ayam Ratu Tertutup Kelantan 2019 di Kampung Kraftangan, di sinj hari ini.

KAMARUZAMAN HASSAN
KAMARUZAMAN

Pengerusinya, Kamaruzaman Hassan berkata, ayam-ayam tersebut yang dimiliki 50 ahli kelab dipertandingkan dalam enam kategori termasuk kategori baharu ‘anak-anak ayam ratu’.

Beliau berkata, pertandingan ayam ratu sebenarnya adalah sejenis pertandingan yang memfokuskan kepada ‘kecantikan’ ayam dan bukannya kebolehan bersabung.

“Juri akan menilai beberapa perkara antaranya gaya, kekemasan bulu, tubuh, balun dan ekor ayam untuk memberi markah.

“Pertandingan sebegini biasa dianjurkan di negara Thailand sejak lebih tiga dekad lalu tetapi di negara kita hanya mula diperkenalkan sekitar 2015 manakala Karak pula baru ditubuh pada 2016.

“Kita tidak mahu penggemar ayam sabung terus terbabit dalam aktiviti menyabung ayam, pertandingan begini memberi peluang mereka menonjolkan kecantikan dan kehebatan ayam tanpa perlu menyebabkan ayam cedera sakit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, pihaknya telah berjaya menganjurkan empat pertandingan ayam ratu pada tahun lalu dan merancang lima pertandingan sepanjang tahun ini.

Menurutnya, antara baka ayam ratu yang sering dipertandingkan adalah Leung Hang Khao (LHK), ‘supergreen’, ‘ghashe’, ‘nockdang’ dan jalak.

Dalam pertandingan hari ini, bagi kategori LHK dewasa dimenangi ‘Gohan’, iaitu ayam milik Mohd Roslan Mahamed Rafter, 35 yang turut memenangi johan keseluruhan ‘Best Of The Best’.

Manakala kategori LHK muda dimenangi ‘Si Merah’ milik Noraidi Azhar, 29; kategori pelbagai roma dimenangi ‘Enam Tujuh’ milik Mohd Kamal Ibrahim, 29; kategori induk pula dimenangi ‘Ella’ milik Nuq Thaimalay, 34; dan kategori warna jitu dimenangi ‘Putra Alam’ milik Mohd Ram Saiful Azmi Saamah, 36 dan kategori anak-anak ayam ratu dimenangi ayam yang dimiliki Salman Yusoff, 27. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×