ROMPIN 6 Jan. – Terpaksa menggunakan air takungan paya yang dikhuatiri tahap kebersihannya. Itu nasib beberapa penduduk di Kampung Lantang, Setajam di sini yang belum menikmati air bersih pada saat Malaysia sedang menuju ke arah negara maju.
Tinjauan Utusan Malaysia di kampung itu baru-baru ini mendapati, paya takungan berkenaan berisiko dimasuki air sawah beracun yang terletak bersebelahan.

Walaupun terdapat tangki air disediakan tetapi tiada bekalan air sejak Jun tahun lalu menyebabkan penduduk terbeban mendapatkan air bersih untuk minuman.
Seorang penduduk, Azid Hassan,52, berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan takungan paya itu kerana ketiadaan air bersih meskipun paip air utama telah lama dipasang.
“Sebelum ini kami telah membayar lebih RM400 kepada seorang yang berjanji menguruskan pemasangan air tetapi sehingga kini tiada hasilnya.
“Mahu tidak mahu kami terpaksa menggunakan air kolam yang digali meskipun kegatalan badan selepas mandi. Bagi anak kecil, kami terpaksa beli air paip dan mengehadkan penggunaannya,” katanya ketika ditemui.
Menurut Azid, pada masa ini dia yang tinggal bersama 10 ahli keluarga terpaksa bergantung kepada air paya itu yang digunakan untuk urusan seharian.
“Pun begitu, kadangkala kami terpaksa memasak air paya ini untuk diminum apabila kehabisan air yang dibeli,” ujarnya.
Sementara itu, Mohammad Izzudin Azis, 22, berkata, ketiadaan air paip membebankan mereka yang terpaksa membeli air di rumah penduduk berhampiran yang jaraknya lebih empat kilometer.
“Sebelum ini ada air bersih disediakan di dalam tangki air paip untuk kegunaan penduduk tetapi sejak Jun tahun lalu ia sudah tiada,” katanya.










