NIBONG TEBAL 31 Jan. – Kedegilan pemborong dan peniaga menyimpan gas petroleum cecair (LPG) melebihi had yang dibenarkan membawa padah apabila kegiatan itu berjaya dikesan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Cawangan Seberang Perai Tengah hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Mohd. Suffian Mohd. Abass, berkata, hasil serbuan pada pukul 11.15 pagi di sebuah premis penyimpanan serta penjualan barang kawalan di kawasan Perindustrian Nibong Tebal, pihak PPDNHEP merampas sebanyak 513 tong gas LPG bernilai RM57,304.
“Serbuan ini dibuat hasil risikan serta maklumat awam yang mengesan aktiviti mencurigakan di premis terbabit.
“Kita mendapati premis berkenaan telah melanggar syarat yang diberikan dengan menyimpan stok melebihi kebenaran lesen,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Suffian premis terbabit merupakan premis yang mempunyai lesen borong dengan had simpanan semasa 2,000 kilogram (kg) dan lesen runcit 1,000 kg.
“Bagaimanapun ketika diperiksa premis berkenaan memiliki LPG melebihi had kuantiti dibenarkan dalam lesen dengan jumlah keseluruhan sebanyak 7,444 kg iaitu telah melebihi sebanyak 4,444 kg daripada had simpanan yang dibenarkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











