LANGKAWI 24 Jan. – Seramai 31 orang warga asing termasuk lelaki Algeria, Bangladesh, Pakistan dan wanita dari Thailand ditahan Jabatan Imigresen negeri dalam dua operasi berbeza di daerah ini, semalam.
Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi pertama, seramai 18 orang lelaki warganegara asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Kutip yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi hingga pukul 3 petang di kawasan Pantai Chenang, di sini.
Menurutnya, dalam Op Gegar yang dilaksanakan di sebuah rumah sewa di Kuah pada pukul 5.40 petang hingga 6.10 petang pula, Imigresen berjaya mencekup 12 orang wanita Thailand dan seorang lelaki Myanmar juga atas pelbagai kesalahan.
“Daripada kesemua 31 tangkapan dalam kedua-dua operasi yang turut dibantu Jabatan Imigresen Perlis itu, mereka didapati melakukan kesalahan-kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan melanggar syarat pas lawatan dengan berkerja secara haram serta tinggal lebih masa di negara ini.
“Kesemua mereka yang berusia lingkungan 19 hingga 56 tahun itu kini ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri Langkawi untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Belantik di Sik, dekat sini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambah Zuhair, kedua-dua operasi berkenaan dilakukan susulan maklumat yang disalurkan oleh orang ramai dan hasil risikan jabatan itu.
Katanya, kesemua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN ONLINE










