MELAKA – Kira-kira 3,000 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini terpaksa bergilir-gilir mengambil bekalan air dari surau berdekatan selepas terputus bekalan air sejak Khamis lalu.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Krubong, Abdullah Omar, 53, berkata, situasi buruk itu adalah yang pertama kali berlaku sejak PPR itu diduduki oleh 600 keluarga pada 2016.
“Kami tidak pasti punca sebenar masalah ini yang berlarutan sehingga hari ini, namun pihak berkenaan sepatutnya membantu penduduk menyediakan bekalan air dengan apa cara sekali pun. Sehingga hari ini, tak ada sebuah lori air pun datang hantar bekalan.
“Penduduk di sini yang berbilang bangsa dan agama terpaksa mengambil bekalan air daripada surau berdekatan bagi untuk membersihkan diri, masak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Katanya, lebih mengecewakan, tiada seorang pun wakil daripada Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang menyelia PPR itu hadir walaupun beberapa aduan telah dibuat sejak Khamis lalu. – K! ONLINE










