30 minit kaki tersepit celah pengayuh basikal - Utusan Malaysia

30 minit kaki tersepit celah pengayuh basikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit selepas kaki kirinya tersepit pada celah tempat pengayuh basikal di Jalan Telok Kapas, Rantau Panjang di sini petang tadi.

Bagaimanapun, mangsa hanya mengalami cedera ringan dalam kejadian pukul 6 petang itu. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.22 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sewaktu tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian didapati kaki kiri kanak-kanak tersebut masih tersepit di celah pengayuh basikal berkenaan.

“Anggota kemudiannya bertindak memotong pengayuh basikal berkenaan dengan alat pemotong besi sebelum kaki mangsa berjaya dikeluarkan.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku sewaktu kanak-kanak terbabit bermain basikal bersama rakan-rakannya di hadapan rumah mereka,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zaidi menambah, mangsa kemudiannya dihantar ke klinik berdekatan oleh keluarganya untuk rawatan lanjut. 

Jelas beliau, operasi menyelamat mangsa tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.53 petang. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×