297 premis gagal pamer tanda larangan merokok - Utusan Malaysia

297 premis gagal pamer tanda larangan merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 4 Jan. – Semua pengusaha premis makanan di negeri ini diberi amaran agar mempamerkan tanda larangan merokok di tempat yang mudah dilihat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, sejak penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan 2018) dijalankan mulai Selasa lalu, sebanyak 297 notis amaran dikeluarkan kepada pemilik premis berkenaan kerana tidak mempamerkan tanda larangan tersebut.

Beliau berkata, pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan itu boleh dikenakan kompaun RM250 dan jika gagal membayar, boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara.

“Pasukan penguat kuasa juga telah mengeluarkan sebanyak 31 notis amaran di bawah Peraturan 12(1)(b) kerana menyediakan bekas abu rokok serta membenarkan perokok merokok di dalam premis dan kawasan yang diwartakan.

“Kita harap pemilik premis dan orang ramai yang bukan perokok dapat menegur perokok bagi melindungi hak masing-masing untuk menyedut udara yang bebas daripada asap rokok,” katanya selepas melakukan tinjauan di Medan Selera Penghulu Cantik dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan awam) negeri, Dr. Ahamad Jusuh.

Veerapan memberitahu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah mengeluarkan sebanyak 398 notis amaran dalam Penguatkuasaan Pendidikan yang dijalankan di seluruh negeri ini sejak Selasa lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 70 notis amaran dikeluarkan bagi kesalahan Peraturan 11 (1) (d) kerana merokok di premis makanan.

“Kami berharap selepas ini tiada lagi individu merokok di semua restoran kedai makan, gerai makan, medan selera dan lokasi penyediaan makanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN