KOTA TINGGI 3 Jan. – Peluang untuk menyertai sukan lasak menggunakan kenderaan all terrain vehicle (ATV) mungkin agak terhad dan asing bagi yang baru berjinak-jinak mencubanya.
Bahkan jika tidak miliki keyakinan diri yang tinggi dan berani berhadapan cabaran, tentu minat dan komitmen seseorang dalam sukan ekstrem itu sia-sia sahaja.
Namun keberanian itu dibuktikan 25 peserta ATV yang menyahut cabaran menyertai program Kembara Kota Palanda Puteri Salamah di Felda Air Tawar 2, dekat sini baru-baru ini.
Program anjuran team ATV Park AT2 itu menawarkan aktiviti sukan lasak, gaya hidup sihat serta memperkenalkan produk pengembaraan dan destinasi pelancongan di daerah ini.
Mungkin satu kelebihan dan bukan perkara sukar bagi mereka yang mahir menunggang motosikal untuk mengendalikan kenderaan ATV kerana mempunyai sedikit persamaan.
Bagi seorang peserta, Azura Alid, 50, bukan semua orang boleh terlibat secara langsung dalam sukan lasak apatah lagi menyahut cabaran Kembara Kota Palanda Puteri Salamah itu.
Suri rumah itu berkata, penglibatan dalam aktiviti sebegini seperti satu fenomena baharu dalam aktiviti riadah yang pernah diikuti sebelum ini.
“Namun begitu bukan halangan untuk saya mencuba sukan ini. Sukan lasak ATV ini memberikan banyak keseronokan dan pengalaman yang sungguh menakjubkan.
“Jika diberi peluang, saya teringin beraksi lagi di sini,” kata ibu kepada dua anak dari Taman Desa Sejahtera di sini ketika ditemui baru-baru ini.
Rakannya, Junaidah Abd. Aziz, 47, berkata, sukan lasak mampu menguji minda di samping dapat membina keyakinan dalam diri seseorang individu.
“Sukan lasak sebenarnya boleh diceburi semua orang termasuklah saya yang sememangnya tidak pernah mengikuti sebarang aktiviti seperti ini.
“Walau bagaimanapun saya berasa teruja apabila dipelawa rakan untuk membabitkan diri dalam sukan itu,” katanya.










