24 hari jelajah mesir - Utusan Malaysia

24 hari jelajah mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESIR merupakan sebuah negara di Afrika Utara yang unik dan kaya dengan nilai-nilai sejarah iaitu tamadun awal Mesir Purba yang sehingga kini tercatit dalam sejarah dunia.

Monumen-monumen Mesir Purba seperti Piramid Giza, Sphinx, Kuil Luxor dan sebagainya menjadi tarikan berjuta-juta pelancong ke negara itu setiap tahun.

Masih ramai yang tidak berpeluang untuk meneroka bumi bersejarah ini untuk dijadikan destinasi pelancongan bagi melihat keunikannya.

Peluang untuk meneroka bumi yang terkenal dengan piramid itu tidak disia-siakan oleh pencinta aktiviti santai, Muhammad Luqmanul Hakim Ahmad, 25, yang menggunakan manfaat sebagai seorang pelajar di Jordan untuk bercuti di Mesir.

Muhammad Luqmanulhakim yang kini merupakan seorang peguam syarie telah mengembara secara solo selama 24 hari di sana dengan melawat sebanyak 13 buah tempat menarik sepanjang berada di Mesir.

FAYYOUM, air terjun yang berada di padang pasir.
FAYYOUM, air terjun yang berada di padang pasir. 

Di setiap tempat bersejarah yang dilawati dia menghayati pemikiran, suasana, latar masyarakat serta episod menarik yang pernah berlaku di situ.

“Di Mesir tidak sama seperti melancong di negara Eropah kerana setiap kawasan adalah terlalu jauh sehingga mencecah beribu kilometer dan sangat berbahaya. Setiap daerah yang ingin dilawati memerlukan kebenaran daripada polis.

“Kita perlu menggunakan pemandu pelancong sama ada secara kumpulan (bas) atau persendirian (van atau kereta), namun melancong menggunakan bas digalakkan sekiranya ingin menjimatkan kos,” katanya.

SIWA Oasis, Western Desert di Mesir
SIWA Oasis, Western Desert di Mesir 

Tambahnya lagi, perkara yang paling menyeronokkan apabila melancong menggunakan bas dapat menambah kenalan baharu yang terdiri daripada pelajar Malaysia dan yang paling penting anda perlu mempunyai sifat ramah dan mesra untuk mendapat kenalan baharu.

Selain itu, berdasarkan pemerhatiannya, budaya masyarakat negara itu sangat meraikan tetamu terutama pelancong dari Asia Tenggara.

Abu simbel Atau kuil simbel adalah kuil termegah peninggalan Mesir
Abu simbel Atau kuil simbel adalah kuil termegah peninggalan Mesir 

Dari segi pertuturan, bahasa mereka agak berlainan dengan budaya masyarakat di Malaysia.

“Saya menggunakan bahasa Arab (pasar) sebagai perantaraan dengan masyarakat tempatan kerana tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris,” katanya.

Dari aspek keselamatan, Mesir tidak mempunyai sebarang masalah, anda hanya perlu mematuhi segala polisi dan peraturan di negara itu.

Menurut Muhammad Luqmanulhakim, untuk memudahkan mereka yang ingin melancong ke sini boleh mendapatkan bantuan pemandu pelancong kerana mereka lebih mengetahui mengenai selok-belok negara itu.

MAKANAN MUDAH DI DAPATI

Di Mesir, pelancong tidak perlu risau mengenai soal makanan kerana di sini mudah didapati makanan halal dan murah untuk dinikmati.

Menurutnya lagi, terdapat pelbagai jenis makanan yang wajib dinikmati.

Tambahan pula, harganya sangat berpatutan terutama di kawasan sekitar Kaherah.

“Sekiranya tidak gemar makan makanan Arab, anda boleh mencuba makanan masyarakat Asia seperti Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan China yang boleh didapati di sini.

“Harga makanan sangat murah dan bagi penduduk Malaysia yang menetap di luar negara, boleh melepaskan rindu untuk menikmati makanan tradisional kita,” katanya.

KAHERAH

Pada hari pertama di bumi Mesir dia melawat tempat-tempat bersejarah di Kaherah yang memakan masa selama empat hari iaitu Masjid Amru Al-Asr, Makam Imam Syafie, Piramid Giza dan Sphinx, Kubu Salehuddin Al-Ayubi, Muzium Tahrir, Masjid Sultan Hassan & Rifa’e, Khan Al-Khalili, Masjid Al-Azhar dan Masjid Hussin serta Asfour (kilang kristal).

PENULIS sedang bermain di padang pasir, Mesir
PENULIS sedang bermain di padang pasir, Mesir 

Sepanjang perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, dia banyak menggunakan pengangkutan awam seperti bas.

“Lokasi setiap tempat yang dilawati adalah sangat jauh dari satu destinasi ke satu destinasi dan itulah yang membuatkan setiap percutian saya di sini mengambil masa yang lama.

“Tempat-tempat bersejarah yang dilawati banyak menimbulkan kesedaran kepada saya mengenai sejarah tamadun awal peradaban islam di samping melihat reka bentuk bangunan yang unik pada zaman dahulu,” katanya.

 

ALEXANDRIA

Setelah selesai mengunjungi tempat-tempat yang menarik dan bersejarah berlatarbelakangkan kisah-kisah Anbia`, para alim ulama dan sejarah Firaun, dia meneruskan percutian ke Alexandria. Ia merupakan bandar kedua terbesar di Mesir selepas Kaherah.

KUIL Ramses II di Abu Simbel antara tempat yang mesti dilawati jika berkunjung ke Mesir.
KUIL Ramses II di Abu Simbel antara tempat yang mesti dilawati jika berkunjung ke Mesir. 

Di sini dia berpeluang mengunjungi sebuah perpustakaan yang merupakan antara terbesar di dunia dengan pelbagai rujukan buku untuk mahasiswa dari seluruh negara.

“Antara tempat menarik lain yang saya lawati di sini ialah Qaitbay, Teater Rom, makam 12 Auliya, Masjid Nabi Daniel, Qaryah Asad dan Mumtazah,” katanya.

SINAI

Selepas melawat Alexandria selama beberapa hari, dia meneruskan pengembaraan ke sebuah kawasan bersejarah iaitu Gunung Sinai yang dipercayai sebagai tempat Nabi Musa menerima wahyu dan kemudian meneruskan perjalanan ke Aswan dan Luxor selama beberapa hari.

BUKIT SINAI
BUKIT SINAI 

Hari-hari berikutnya dia meneruskan perjalanan ke Hurghada, Faiyyoum, Matrouh dan Siwa selama beberapa hari sebelum menamatkan percutian selama 24 hari di bumi Mesir.

Mengulas lanjut, Muhammad Luqmanulhakim memberitahu bahawa sebelum memulakan perjalanan ke Mesir, dia melakukan kajian terperinci mengenai tempat yang akan dilawati menerusi media sosial seperti Facebook dan blog.

“Anda boleh cari Tour Guide Group Pasar Mesir di laman sosial Facebook untuk mendapatkan sedikit maklumat mengenai pemandu pelancong di sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×