2,000 nelayan terjejas - Utusan Malaysia

2,000 nelayan terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 24 Jan. – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mempergiatkan operasi membanteras pencerobohan bot pukat tunda dan aktiviti bot kenka di kawasan tangkapan nelayan pantai di negeri ini.

Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, gesaan itu berikutan aduan oleh nelayan yang mendakwa masalah tersebut semakin serius sehingga menyebabkan sumber pendapatan mereka terjejas.

Menurutnya, bot pukat tunda yang terlibat adalah dari Teluk Bahang dan Batu Maung manakala bot kenka dari Kuala Muda, Bakau Tua dan Penaga di daerah Seberang Perai Utara (SPU) membabitkan lebih 2,000 nelayan pantai di 10 pangkalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita difahamkan bot pukat tunda dan bot pukat kenka se­­ring menjalankan aktiviti mereka pada waktu malam di kawasan antara satu hingga lima batu nautika dari pantai.

“Bot ini bukan sahaja me­merangkap dan membunuh anak ikan termasuk yang berkualiti tinggi seperti bawal, jenahak, pari, senangin malah merosakkan batu karang dan jaring nelayan pantai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, ekoran pen­ce­robohan itu juga, pendapatan nelayan susut mendadak daripada RM100 sehari kepada hanya antara RM10 hingga RM20 sehari disebabkan sumber tangkapan utama mereka berkura­ngan dan diancam kepupusan.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa kesal kerana meskipun komuniti nelayan itu telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkenaan, namun tiada tindakan berkesan diambil sehingga kini.

“SAM berharap kerajaan mengharamkan segera penggunaan peralatan ini demi sumber bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat negara ini pada masa akan datang,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×