PULAU PINANG 14 Jan. – Dua lelaki dan seorang wanita dikehendaki sebagai saksi melibatkan tiga perbicaraan berasingan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Tinggi 1 di sini bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Sebarang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisoner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, saksi pertama, K. Anandaraj, 28, yang beralamat di No 1864/8, Kampung Perlis, 12100 Butterworth, Pulau Pinang diperlukan untuk kes yang dibicara pada Selasa dan Rabu ini.
Beliau berkata, lelaki itu merupakan individu bertanggungjawab menyewa rumah yang menjadi lokasi dadah ditemukan.
“Kepada saksi berkenaan atau sesiapa yang mengetahui di mana saksi ini berada diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Inspektor Ahmad Safwan Mohd. Rosslan di talian 019-4303074 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi lelaki, G. Roovenswara, 24, sebagai saksi perbicaraan di mahkamah sama bermula hari ini sehingga esok.
Katanya, lelaki tersebut merupakan suspek yang ditahan bersama-sama tertuduh ketika kejadian namun dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan polis.
“Saksi ini mempunyai dua alamat iaitu No 16, Lebuh Tenggiri 2, Seberang Jaya, 13700 Perai, Pulau Pinang dan satu lagi alamat Blok 58 10-02B, Jalan Silat Harimau 1/1, Bandar Selesa Jaya, 81300 Skudai Johor.
“Oleh itu, kehadiran saksi ini amat penting bagi kes perbicaraan yang sedang berlangsung dan orang ramai yang mengenali lelaki ini diminta menghubungi Ahmad Safwan,” katanya.
Ujarnya, bagi kes ketiga, seorang wanita, Goh Chin Chin, 48, yang beralamat di No. 5 Jalan Bukit Kecil, Taman Bukit, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang dikehendaki untuk perbicaraan hari ini serta pada Selasa dan Rabu depan.
Tambahnya, Chin Chin merupakan penyewa premis dan pemilik perniagaan di mana rampasan dadah dibuat.
“Orang ramai yang mengenali saksi ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah Pulau Pinang, Inspektor Siti Haslina Hamzah di talian 016-3432116 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN ONLINE










