ALOR SETAR – Seramai 18 warga asing yang leka bekerja terkejut apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dalam operasi Ops Kutip yang dijalankan di sekitar kawasan Pantai Chenang, Langkawi dekat sini semalam.
Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, serbuan antara pukul 11.30 pagi hingga 3 petang itu dilakukan berpandukan maklumat orang ramai dan hasil risikan yang dibuat JIM di kawasan tersebut.
“Seramai 32 orang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, seramai 18 lelaki warga asing yang terdiri daripada seorang lelaki India, Myanmar (tiga), Bangladesh (lapan), Algeria (seorang) dan Pakistan (lima) ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mereka yang ditahan didapati bekerja di premis-premis makanan, menjual pakaian, gunting rambut dan berkaitan pelancongan.
Kata beliau, kesemua lelaki terbabit yang berusia antara 21 hingga 42 tahun disyaki melakukan kesalahan imigresen iaitu tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.
Tambahnya, semua warga asing tersebut ditahan di lokap imigresen di bangunan Kementerian Dalam Negeri, Langkawi untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Belantik, Sik dekat sini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – K! ONLINE










