KEPALA BATAS 1 Jan. – Seramai 13 penagih termasuk pengedar dadah berjaya di tahan polis dalam operasi di seluruh daerah Seberang Perai Utara hari ini.
Dalam operasi yang bermula pada pukul 6 petang semalam hingga 4 pagi hari ini pihak polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM26, 228.
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia di antara 20 tahun hingga ke 50 tahun.
“Hasil pemeriksaan di dalam operasi tersebut pihak polis telah merampas bahan-bahan yang disyaki dadah heroin seberat 458.1 gram, dadah syabu (67.9 gram) dan air ketum (500 militer) dari kesemua tangkapan.
“Kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau hasil siasatan lanjut mendapati dadah tersebut adalah untuk dijual di kawasan Seberang Perai Utara dan untuk kegunaan suspek sendiri.
“Suspek-suspek yang tangkap akan direman di lokap Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, dua lelaki berumur 40 dan 46 tahun ditahan dalam satu operasi di Lingkaran Luar Butterworth hari ini kerana memandu kereta dalam keadaan mabuk. – UTUSAN ONLINE










