'Zero Cost Marketing' - Utusan Malaysia

‘Zero Cost Marketing’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada hari ini, banyak agensi pengiklanan mengeluh kerana banyak pengiklan mereka tidak lagi membayar dengan jumlah yang besar atas sebab keberkesanan yang tidak lagi boleh dirasai oleh pengiklan-pengiklan sama ada di radio ataupun di media-media massa lain seperti televisyen.

Tetapi jika dibuat secara skala besar dengan kos permulaan jutaan ringgit, kebarangkalian untuk berjaya mungkin hanya 30 peratus sahaja. Itu pun bergantung pada cara persembahan, penyampaian, kekerapan dan keunikan sesuatu iklan tersebut.

Namun begitu, kaedah sebegini tidak lagi diguna pakai, ke­rana banyak pengiklan besar berhijrah kepada pemasaran melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan Youtube.

Ini berlaku kerana jumlah pelaburan yang digunakan untuk pengiklanan melalui media sosial tidak memerlukan kos yang tinggi seperti pengiklanan konvensional di televisyen dan lebih interaktif.

Kos pemasaran murah dan mudah

Sejajar dengan dunia tek­no­logi yang semakin pantas dan mudah, terdapat juga ejen pengiklanan yang menyediakan khidmat pengiklanan di media sosial. Tetapi kita tidak dapat memahaminya dan mahir jika tidak mencubanya sendiri.

Jikalau kita hendak mencuba kadang-kadang kita perlu me­nunggu dan mencari guru yang sesuai. Iya, kita memang boleh mencari guru dan boleh mencari tempat untuk belajar tetapi kos bayaran yang dikenakan untuk pembelajaran tersebut tidak berbaloi ataupun mempunyai silibus yang terlalu rumit sehingga kita tidak mampu mengikutinya.

Melainkan kita sendiri mempraktikkannya dahulu sebelum belajar daripada guru yang lebih berpengalaman. Dengan cara ini, barulah kita lebih mudah dan cepat memahami ilmu yang diajarkan oleh mereka. Yang pastinya, sebelum mempelajari daripada guru berpengalaman, proses pembelajaran perlu di­mulakan dengan meneroka dan lakukan sendiri agar kita dapat melihat dan merasainya terlebih dahulu supaya lebih cepat memahami apa yang diajar oleh guru tersebut.

Setelah mengeluarkan per­belanjaan yang besar berjumlah puluhan juta setahun, maka saya dapati cara untuk melakukan pengiklanan melalui ‘Zero Cost Marketing’ juga tidak kurang hebatnya, bergantung kepada cara pembawaan kita dan penggunaannya di ruangan media-media sosial yang mana kita perlu cuba ambil peluang dan ruang.

Pendekatan di dalam media sosial

Pertama sekali, kita mestilah pandai menarik perhatian rakan-rakan di Facebook dan Instagram dengan memuat naik gambar atau video aktiviti kita yang digemari agar follower boleh mengenali siapakah kita untuk mereka ikuti dan contohi.

Kebanyakan perkongsian yang digemari terutama berkaitan fesyen, mekap dan makanan ke­rana ia lebih mudah menarik perhatian mereka dan sangat dekat dengan perjalanan kehidupan harian. Kita perlulah interaktif dan berkomunikasi de­ngan rakan-rakan di media sosial untuk membina hubungan rapat ataupun membina pengikut serta rangkaian untuk menjalankan aktiviti ‘Zero Cost Marketing’ ini.

Apabila mempunyai rakan-rakan di media sosial, janganlah terus menjual, tetapi tarik perhatian mereka untuk ingin tahu dan membeli produk jualan kita de­ngan penyusunan ayat yang lebih santai dan bersesuaian dengan bahasa tubuh dan kemesraan kita supaya mereka selesa.

Sememangnya, ‘Zero Cost Marketing’ ini ada kekurangannya dan kita perlu berusaha lebih dalam membina rangkaian dan ia juga memerlukan masa yang lama. Di samping itu, kita boleh mencari pengalaman dan belajar untuk lakukannya secara wajib, konsisten dan tidak boleh buat hanya sekali sahaja, walaupun jumlah viewer bagi setiap paparan yang dimuat naik tidak ramai.

Begitulah, yang perlu dilakukan setiap hari. Apabila kita ingin mempromosikan sesuatu produk, gunakan ayat yang menarik dan berbeza daripada yang lain. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan ayat sentap (bahasa basahan), kreatif dan pendek di dalam video yang akan dimuat naik ke media sosial bagi menarik perhatian mereka terhadap produk jualan kita.

Gambar dan video yang menarik

Bagi memuat naik sesuatu gambar atau video, perlulah mengandungi pengisian yang lebih dekat dengan pengguna. Gambar dan video tersebut biasanya hanya perlu dirakam de­ngan telefon bimbit kerana lebih berkesan berbanding gambar cantik yang telah disunting oleh jurugambar profesional.

Sebaiknya janganlah merakam video dalam jangka masa panjang. Hanya memadai jika dirakam dalam lingkungan 30 saat hingga satu minit sahaja. Selain itu, gambar atau video tersebut hendaklah kreatif dan unik supaya viewers mudah terhibur dan tidak jemu untuk melihatnya.

Melalui pengalaman saya, antara video yang sering mendapat perhatian ramai dan mempunyai kuantiti viewers yang banyak adalah dengan memuat naik video tutorial mekap, cara pemakaian atau penggayaan tudung serta demo masakan. Me­lalui kaedah ini, pasti akan berlaku interaksi yang mana orang akan komen dan bertanya.

Testimoni dan keberkesanan

Sememangnya berniaga melalui dalam talian ini lebih baik daripada berniaga di kedai. Sebagai contoh, jika kita berniaga di kedai, kita mungkin boleh memperoleh hasil jualan dalam lingkungan RM500 hingga RM1,000 sehari. Tetapi jika ditambah dengan perniagaan dalam talian, kita mampu meningkatkan lagi hasil jualan harian kita sehingga mencecah puluhan ribu.

Oleh itu, kita harus terus mempraktikkan kaedah ini secara wajib, konsisten dan berani mencuba walaupun tidak mendapat viewers yang ramai. Selain itu, kita juga perlu lakukan rujukan lain bagi meningkatkan kadar jualan dalam talian ini dari hari ke hari.

Rujukan ini, adalah untuk mendapatkan idea yang berbeza bagi setiap video yang akan dimuat naik. Tidak salah jika kita menggunakan idea yang sama seperti peniaga dalam talian yang telah berjaya. Tetapi kita perlu pastikan bahawa pengisian video tersebut tidak sama dan jauh lebih kreatif agar viewers tidak jemu dan lebih terhibur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN