2018 akan berakhir beberapa hari lagi. Kemeriahan Jualan Akhir Tahun (Y.E.S) masih lagi berterusan selagi belum berakhirnya 2018. Saya baru sahaja mengadakan jualan ini di Tawau, Sabah bagi meraikan pengguna produk dan pelanggan setia di negeri bawah bayu ini.
Alhamdulillah, sambutan jualannya amat luar biasa dan di luar jangka kerana syarikat saya jarang melakukan promosi di sini. Pada minggu ini, saya akan berkongsi mengenai pandangan dan panduan membeli ketika Y.E.S serta perlukah kita membeli ketika itu dan apakah kelebihannya.
Kita memang gemarkan jualan murah dan sentiasa mencari tawaran hebat, tidak kira sama ada membeli-belah dalam talian ataupun di gedung membeli-belah. Dengan pengalaman yang ada, saya ingin berkongsi beberapa sebab mengapa perlu membeli ketika Y.E.S atau jualan murah.
Antara kebaikannya termasuklah faedah peribadi, menjimatkan masa dan dapat membantu ekonomi negara secara amnya. Membeli-belah merupakan aktiviti yang hebat dan anda perlu nikmati sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
Membakar kalori sambil membeli-belah
Dalam kehidupan sebagai seorang usahawan, saya sentiasa sibuk menguruskan empayar perniagaan dan anak-anak hingga tiada masa untuk bersenam dan beriadah. Satu daripada aktiviti yang mampu meningkatkan kecergasan dan mengurangkan berat badan adalah dengan membeli-belah.
Oleh itu, sekiranya anda ingin mendapatkan bentuk badan yang menarik, membeli-belah adalah cara terbaik untuk membakar kalori. Ia mungkin seperti mitos tetapi ini adalah fakta. Jumlah kalori yang dibakar semasa membeli-belah berkait rapat dengan berat badan anda, bergantung pada tempoh anda berjalan dan cara anda membeli-belah.
Berat barangan yang dibeli juga berkait dengan pembakaran kalori. Walaupun hanya dengan berjalan ketika membeli-belah sebenarnya ia mampu membakar dua kali ganda kalori yang anda hasilkan ketika duduk dengan hanya menonton televisyen di rumah.
Sebagai contoh, individu yang mempunyai berat 45 kilogram mampu kehilangan 400 kalori jika membeli-belah selama tiga jam, sementara 90 kilogram pula akan kehilangan 750 kalori dalam tempoh sama.
Berjalan adalah aktiviti yang sangat berfaedah tetapi tidak ramai individu melakukan secukupnya. Bagaimanapun apabila membeli-belah, anda akan melakukan lebih daripada sekadar berjalan di kedai-kedai, kerana anda sentiasa melakukan banyak pergerakan seperti duduk, berdiri dan regangan ketika melakukan aktiviti pemilihan barangan atau dengan mencuba pakaian kegemaran.
Aktiviti-aktiviti ini menyebabkan anggota badan anda bergerak secara automatik dan tanpa paksaan. Individu yang sering membeli-belah sebenarnya tidak perlu bersenam kerana secara automatik mereka akan menjadi aktif ketika membeli-belah.
Sekiranya membeli-belah secara umumnya dapat membakar kalori seperti ini, bayangkan jika anda membeli-belah dengan kadar pergerakan yang pantas. Pasti lebih banyak kalori akan dibakar kerana semasa musim jualan murah, anda perlu membeli dengan lebih cepat dan pantas kerana takut kehabisan stok.
Penjimatan wang
Satu daripada manfaat utama berbelanja semasa Y.E.S adalah penjimatan wang. Kita semua tahu mengenai manfaat ini, tetapi masih ramai yang tidak menyedarinya. Cuba anda lihat jumlah wang yang ingin dibelanjakan untuk pakaian pada tahun ini dan bayangkan jika jumlah tersebut mendapat pengurangan 10 peratus daripada harga jualan sebenar.
Sebagai contoh, jika anda membelanjakan RM2,000 untuk pakaian pada setiap tahun dan semuanya mempunyai potongan 10 peratus, anda telah berjimat sebanyak RM200, yang mana ia cukup untuk membeli dua pasang kasut atau beg tangan baharu atau barangan dapur untuk sebulan.
Dan jika semasa jualan, segala-galanya mendapat potongan diskaun lebih besar daripada 10 peratus, anda dapat menjimatkan lebih banyak wang daripada yang diharapkan. Ia juga mungkin cukup untuk membuka akaun simpanan.
Membeli dengan berhemah
Bercakap mengenai belanjawan pula, adalah sangat penting untuk meletakkan bajet bagi pembelian pakaian. Apabila anda merancang perbelanjaan, adalah penting untuk mengetahui berapa banyak bajet yang ingin dikeluarkan pada pakaian kegemaran.
Perbelanjaan yang berlebihan boleh menyebabkan hutang yang banyak. Pada musim jualan murah, kita perlu berbelanja dengan lebih berhati-hati kerana ketika ini semua barangan jualan akan dijual pada harga murah termasuk yang kita tidak perlukan.
Oleh itu, kita hanya perlu membeli barangan yang diperlukan sahaja dan perlu berada dalam lingkungan bajet yang ditetapkan.
(Bersambung Bahagian Kedua minggu hadapan)










