KUALA LUMPUR 30 Dis. – Pesalah vandalisme perlu diwajibkan menjalani program khidmat masyarakat sebagai langkah pemulihan yang berkesan sekali gus memupuk kesedaran sivik dalam diri individu berkenaan.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu lebih berkesan bagi menimbulkan rasa takut dan malu dalam kalangan pelaku.
“Walaupun vandalisme di Malaysia tidak begitu teruk seperti di kebanyakan negara Barat, tahap kerosakan yang dialami menyebabkan masalah semakin serius dan perlu ditangani secara berkesan.
“Undang-undang kecil berkaitan vandalisme yang dikuatkuasakan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan tidak mencukupi bagi menangani masalah ini, justeru adalah wajar melaksanakan khidmat masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Lam Thye, Akta Vandalisme juga perlu diperkenalkan agar hukuman khidmat masyarakat diwajibkan manakala hukuman rotan dikenakan kepada pesalah tegar.
“Pesalah tegar yang melakukan perbuatan vandalism lebih daripada tiga kali pula harus menerima hukuman rotan selain penjara minimum satu tahun sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.
Jun lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercadang mewajibkan pesalah vandalisme menjalani program khidmat masyarakat bagi mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga dan menghargai tempat awam selain menjimatkan kos penyelenggaraan dan baik pulih yang dikeluarkan oleh kerajaan. – UTUSAN ONLINE.










