KUALA LUMPUR 4 Dis. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menerima dua unit helikopter AW 819 setelah transaksi pembeliannya dengan Itali berjalan lancar sejak tiga tahun lalu.
Helikopter AW 819 yang boleh memuatkan 20 penumpang termasuk dua juruterbang dan 18 penumpang ini mampu terbang sejauh 278 km per jam dan terbang rendah di kawasan yang berbahaya.
Ujar AgustaWestland, helikopter tersebut merupakan model pesawat terbaharu dan ia bukan sahaja memiliki enjin berkembar seberat 8,600 kilogram (kg) berkuasa tinggi malah amat menepati keperluan Unit Udara JBPM.
“Helikopter yang berukuran 14.60 meter panjang dan tinggi sekitar 5.06 meter ini mampu terbang selama tiga jam 42 minit di udara kerana ruang tangkinya mencecah kapasiti sehingga 2,063 liter.
“Model keluaran Itali ini juga mempunyai ciri keselamatan yang tinggi termasuk di bahagian kokpit selain memiliki sistem pemanduan auto, radar pengesan cuaca dan pencarian serta banyak lagi,” katanya kepada pemberita di AgustaWestland Malaysia Sdn. Bhd., Subang.
AgustaWestland berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pengoperasian Helikopter AW 189 yang disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. – UTUSAN ONLINE










