ALOR GAJAH – Tanda tanya kehilangan seorang remaja lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas menjala ikan di pesisir Pantai Kuala Sungai Baru di sini terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di perairan Tanjung Dahan, semalam.
Mayat Khairul Azhar Aziz, 19, telah ditemui oleh nelayan sebelum dibawa naik oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka & Negeri Sembilan dari kedudukan 0.4 Batu Nautika Tanjung Dahan pada pukul 11.35 pagi.
Pengarah Maritim Melaka & Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, mayat mangsa berjaya diangkat dan dibawa naik ke Jeti Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar Kuala Linggi pada pukul 12.12 tengah hari.
“Pusat operasi maritim menerima laporan daripada nelayan mengenai penemuan mayat tersebut dan sekumpulan anggota telah digerakkan ke lokasi untuk membawanya naik.
“Beberapa minit selepas itu satu laporan kehilangan seorang remaja telah diterima dan kami percaya laporan tersebut mempunyai kaitan dengan penemuan mayat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini hari ini.
Katanya, pengecaman telah dilakukan oleh ibu mangsa dan mengesahkan bahawa mayat tersebut merupakan anak bongsunya yang hilang sejak keluar rumah kira-kira pukul 10 pagi kelmarin. – K! ONLINE










