KUALA LUMPUR 26 Dis. – Dua suspek samun di Plaza Sri Sinar, Segambut semalam direman selama empat hari bermula hari ini.
Kedua-dua suspek berusia 24 dan 33 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 393 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
“Perintah reman telah dikeluarkan terhadap mereka hari ini sehingga Sabtu bagi siasatan lanjut kerana cubaan melakukan samun menggunakan senjata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, polis menahan dua lelaki selepas cuba menyamun dan mencederakan seorang pemuda berusia 24 tahun di Plaza Sri Sinar, di Segambut dekat sini.
Kedua-dua mereka ditahan kira-kira pukul 10 malam ketika cuba menyamun mangsa yang sedang mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank.
Dalam pada itu, satu rakaman video berdurasi 21 saat menunjukkan mangsa berada dalam keadaan berlumuran darah di pekarangan bank tersebut tular di media sosial.
Di dalam video tersebut, mangsa yang dibantu orang awam turut berjaya merampas kapak dipercayai digunakan suspek ketika cuba menyamunnya. – UTUSAN ONLINE










